top of page

Topik 1: Kesan Laporan Kewangan ke atas HargaSaham: Analisis Kajian Kes

Kajian yang diterbitkan dalam Journal of Behavioral Finance pada 2018 mendapati hanya 20% pelabur individu membaca laporan kewangan, malah dalam kalangan mereka yang membacanya, ramai yang tidak memahami sepenuhnya maklumat yang disampaikan

Apakah Laporan Kewangan Suku Tahunan? Laporan kewangan ialah dokumen kewangan yang perlu dikeluarkan oleh setiap syarikat awam tersenarai untuk memberikan maklumat tentang prestasi syarikat dan kewangan mereka. Laporan kewangan ini dikeluarkan setiap suku tahunan atau setiap tiga bulan dan mendedahkan maklumat seperti hasil pendapatan, perbelanjaan, serta sebarang peristiwa atau perkembangan penting yang berlaku pada suku tersebut.

Laporan kewangan ini penting untuk pelabur, penganalisis dan pihak berkepentingan lain untuk menilai kekuatan kewangan, prestasi dan prospek masa depan syarikat. Laporan ini juga membantu pelabur dan penganalisis untuk menilai sama ada syarikat itu mencapai sasaran kewangannya dan sejauh mana prestasinya berbanding pesaing lain, dan potensi pertumbuhannya. Memahami laporan kewangan ini memerlukan pengetahuan asas mengenai penyata kewangan (financial statement) dan prinsip perakaunan. Sebagai pelabur baru yang ingin memahami laporan kewangan, berikut adalah beberapa langkah untuk membantu anda memahami laporan suku tahunan syarikat:

  1. Anda perlu memahami terma-terma asas kewangan dan perakaunan seperti revenue/sale, earning, asset, expenses, liability, cash flow.

  2. Laporan kewangan akan mempunyai penyata kewangan seperti Balance Sheet (kunci kira-kira), Income Statement (Penyata Pendapatan) dan Cash Flow Statement (Penyata aliran tunai). Semak setiap penyata kewangan untuk memahami kedudukan dan prestasi kewangan syarikat pada suku tersebut.

  3. Menganalisis nisbah kewangan (financial ratio): Nisbah kewangan dapat ‘memudahkan’ anda menilai prestasi kewangan syarikat dan membuat perbandingan. Beberapa nisbah yang penting untuk dianalisis termasuk pendapatan sesaham (EPS), pulangan ekuiti (ROE), dan nisbah hutang berbanding aset. Bandingkan nisbah ini dengan penanda aras industri atau sejarah prestasi. syarikat untuk melihat jika ada kenaikan atau penurunan prestasi.

  4. Baca dan fahami nota penerangan dan analisis oleh pengurusan syarikat; Setiap laporan akan ada bahagian yang menyediakan perspektif atau review oleh pihak pengurusan mengenai prestasi kewangan, risiko, inisiatif strategik syarikat dan potensi masa depan syarikat. Bahagian ini boleh menjadi sumber maklumat yang berharga untuk membantu anda menilai syarikat.


Contoh nota penerangan yang ditunjukkan dalam laporan suku ke-4 untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022

Adakah Laporan Kewangan Suku Tahunan beri kesan kepada Harga Saham? Ya, laporan pendapatan suku tahunan boleh memberi kesan yang besar terhadap harga saham syarikat.

Sekiranya prestasi syarikat seperti atau lebih baik daripada yang dijangkakan, harga saham mungkin meningkat apabila pelabur menjadi lebih optimistik mengenai prospek masa depan syarikat. Sebaliknya, jika pendapatan syarikat lebih rendah daripada yang dijangkakan, harga sahamnya mungkin jatuh apabila pelabur menjadi lebih pesimis mengenai prospek masa depan syarikat.


Anda juga perlu memberi perhatian kepada nota penerangan syarikat pada bahagian semakan prestasi dan prospek untuk menilai potensi masa depan syarikat. Sekiranya syarikat memberikan hala tuju yang positif, menunjukkan bahawa ia menjangkakan prestasi yang baik pada masa akan datang, harga sahamnya mungkin meningkat walaupun laporan kewangan semasa tidak sekuat yang dijangkakan.


Sebaliknya, jika syarikat memberikan hala tuju atau memberi komen negatif berkaitan potensi syarikat, harga saham mungkin jatuh walaupun laporan kewangan semasa lebih baik daripada yang dijangkakan.


Buy on rumors, sell on news

"Beli berdasarkan khabar angin, jual berdasarkan berita" adalah pepatah biasa dalam pasaran saham yang merujuk kepada pelabur/pedagang melakukan strategi dagangan berdasarkan khabar angin atau spekulasi dan kemudian menjualnya sebaik sahaja berita itu diumumkan.

Pasaran sebenarnya cenderung untuk bertindak balas terhadap sebarang spekulasi menyebabkan harga saham meningkat. Sebaik sahaja berita dikeluarkan, pelabur / pedagang menjual pegangan saham untuk merealisasikan keuntungan yang ada.



Perlukah jual pegangan saham sebelum laporan kewangan diumumkan untuk elak “Sell on News”?

Membuat keputusan sama ada untuk menjual saham sebelum laporan kewangan suku tahunan diumumkan boleh menjadi dilema untuk pedagang saham yang kurang berpengalaman.

Sebagai panduan, keputusan untuk menjual sebelum laporan kewangan diumumkan bergantung kepada beberapa situasi :


  1. Lihat prestasi syarikat pada suku tahunan sebelumnya. Adakah syarikat secara konsisten mengatasi prestasi keuntungan sebelumnya? Jika ya, mungkin anda perlu memegang lagi saham tersebut, kerana syarikat itu mungkin akan terus menunjukkan prestasi yang baik.

  2. Semak jangkaan Penganalisis atau sentimen semasa: Semak kajian penganalisis dan jangkaan mereka untuk laporan yang akan datang. Sekiranya jangkaan tinggi, dan terdapat banyak penyebab kukuh dan sentimen positif di pasaran, idea yang baik untuk memegang saham anda. Sebaliknya, jika jangkaan penganalisis rendah atau sentimen negatif, disarankan untuk menjual saham anda sebelum laporan dikeluarkan.

  3. Semak risiko yang anda akan terima: Pertimbangkan risiko anda sendiri. Jika anda enggan ambil risiko dan mahu ‘lock’ keuntungan, anda boleh menjual saham anda beberapa hari sebelum laporan kewangan dikeluarkan.


Kajian Kes: Inari Berhad

Pengenalan Syarikat Inari Berhad adalah sebuah syarikat tersenarai yang terlibat dalam industri perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS). Syarikat ini ditubuhkan di Malaysia pada 25 Februari 2010, dan ia disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia.

Inari Berhad terlibat dalam industri semikonduktor, dengan tumpuan kepada segmen frekuensi radio (RF). Syarikat ini membuat modul berkaitan RF, suis antena, penguat kuasa, penapis, dan bahagian lain untuk peranti komunikasi. Syarikat ini mempunyai pelanggan dari pelbagai negara, termasuk Asia, Eropah, dan Amerika Syarikat.



Jadual 1: Prestasi suku tahunan pendapatan dan keuntungan

Jika dianalisis prestasi laporan kewangan suku tahunan yang diumumkan sejak 24 November 2020, anda dapat lihat trend keuntungan bersih syarikat meningkat dari RM70 juta kepada RM106.9 juta pada 12 November 2021. Walaupun ada sedikit penurunan keuntungan diumumkan 21 Mei 2021, namun penganalisis masih membuat jangkaan tinggi pada masa tersebut.

Anda boleh lihat pada carta di bawah keseluruhan prestasi harga saham meningkat naik dari harga RM2.29 sesaham pada 24 November 2020 kepada RM3.84 pada 12 November 2021, kenaikan sebanyak 64%.




Apa berlaku jika masih pegang saham selepas syarikat umum laporan kewangan pada 12 Nov. 2021?

Anda boleh lihat pada graf harga saham Inari selepas Disember 2021. Kenapa harga saham turun selepas itu walaupun prestasi kewangan menunjukkan keuntungan meningkat? ( rujuk jadual 1)


Anda perlu sentiasa peka dengan sentimen terhadap perniagaan syarikat, sektor dan pasaran saham. Anda juga perlu ingat bahawa, harga saham berpotensi meningkat apabila pelabur menjadi lebih optimistik mengenai prospek masa depan syarikat.

Walaupun begitu, ada beberapa keadaan dimana syarikat menunjukkan prestasi bagus, tetapi jika pelabur ‘bimbang’ dengan prospek masa depan perniagaan syarikat, ia akan membawa kesan tekanan jualan dan penurunan saham tersebut.

Kenaikan kadar faedah secara aggresif punca pelabur panik

Bank pusat umum kenaikan kadar faedah untuk melawan kenaikan inflasi

Walaupun prestasi kewangan Inari bagus pada tahun 2021, tetapi pasaran saham tempatan dan global bimbang berkenaan kenaikan ‘interest rate’ yang akan dilakukan secara aggresif. Kenaikan interest rate yang ketara akan memberi kesan negatif kepada pasaran saham terutamanya sektor teknologi.



Harga saham Inari merosot sejak awal 2022 berikutan kebimbangan pelabur dengan isu kadar faedah

Jika anda masih pegang saham Inari hingga suku tahunan ke-2 tahun 2022 yang diumumkan pada 18 Februari 2022, walaupun diumumkan prestasi kewangan baik dan untung pada suku tersebut, harga saham masih berterusan menurun selepas itu, disebabkan sentimen pelabur negatif berkenaan prospek masa depan sektor teknologi.


Untuk mengelakkan pelaburan bertukar daripada untung kepada rugi, anda dinasihatkan menjual atau kurangkan pegangan saham sebelum laporan suku tahunan seterusnya diumumkan.


Terdapat beberapa sebab mengapa harga saham syarikat mungkin turun walaupun mengumumkan laporan suku tahunan yang baik. Berikut adalah beberapa aspek yang perlu dilihat:

  1. Prospek masa depan syarikat malap: Walaupun keputusan laporan kewangan syarikat adalah baik, tetapi pengurusan memberikan bayangan atau perspektif yang kurang baik untuk operasi syarikat pada masa depan, pelabur mungkin menjual saham mereka, dan membawa kepada penurunan harga saham.

  2. Prestasi Tidak mencapai Jangkaan Pasaran: Pasaran mungkin mempunyai jangkaan yang tinggi untuk prestasi syarikat, dan walaupun keputusan syarikat itu baik dan ada pertumbuhan positif, prestasi tersebut mungkin tidak mencapai tahap yang pasaran ingin lihat. Akibatnya, pelabur mungkin menjual saham mereka, menyebabkan harga turun.

  3. Jangkaan trend industri/sektor dalam fasa penurunan: Harga saham sesebuah syarikat boleh dipengaruhi oleh trend dalam industri yang syarikat terlibat. Jika terdapat sentimen negatif terhadap industri, ia boleh menjejaskan harga saham semua syarikat yang beroperasi dalam industri itu, walaupun mencatatkan prestasi yang baik.

  4. Pengambilan untung: Sesetengah pelabur mungkin menjual saham mereka untuk mengambil keuntungan selepas harga saham meningkat dengan menjangkakan keputusan suku tahunan yang baik. Ini boleh membawa kepada penurunan sementara dalam harga saham. Ini ada kaitannya dengan ‘ buy on rumors, sell on news’ .

  5. Keadaan pasaran keseluruhan negatif: Faktor luaran seperti keadaan makroekonomi, geopolitik, kenaikan kadar faedah juga boleh mempengaruhi harga saham syarikat.


Kesimpulan
  1. Laporan kewangan suku tahunan adalah dokumen penting yang akan dikeluarkan oleh setiap syarikat tersenarai awam untuk memberikan maklumat tentang prestasi kewangan mereka.

  2. Ia mengandungi penyata kewangan utama seperti kunci kira-kira, penyata pendapatan dan penyata aliran tunai, yang boleh dianalisis oleh pelabur untuk memahami kedudukan kewangan dan prospek syarikat.

  3. Memahami terma dan nisbah kewangan, serta membaca nota dan analisis pengurusan, adalah langkah penting untuk memahami laporan kewangan suku tahunan.

  4. Laporan kewangan ini boleh memberi impak yang besar pada harga saham syarikat, kerana pelabur bertindak balas terhadap keputusan kewangan dan prospek pengurusan yang lebih baik daripada yang dijangkakan atau lebih buruk daripada yang dijangkakan untuk masa hadapan.

  5. Pelabur juga bukan sahaja perlu memantau prestasi kewangan sesebuah syarikat tetapi juga sentimen dan trend sekitar industri dan pasarannya.

  6. Kajian kes Inari Berhad menunjukkan bahawa walaupun prestasi kewangan yang baik dan peningkatan dalam keuntungan bersih, harga saham syarikat menurun disebabkan sentimen negatif pelabur yang menyelubungi prospek masa depan sektor teknologi.

  7. Oleh itu, adalah penting untuk berwaspada dan mempertimbangkan pelbagai faktor sebelum membuat keputusan pelaburan.


0 comments
bottom of page